Home Entertainment ‘PERWIRA’ Ning Baizura Istimewa Sempena Kempen Tabung Pahlawan
Home Entertainment ‘PERWIRA’ Ning Baizura Istimewa Sempena Kempen Tabung Pahlawan

‘PERWIRA’ Ning Baizura Istimewa Sempena Kempen Tabung Pahlawan


Bersempena dengan pelancaran kempen Tabung Pahlawan, Primeworks Studio Sdn Bhd dengan berbesar hati telah melahirkan sebuah lagu istimewa untuk semua perwira di negara kita.

Lagu hasil ciptaan Aubrey Suwito dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio Sdn Bhd, Ahmad Izham Omar, ‘Perwira’ dinyanyikan oleh penyanyi bersuara soprano Ning Baizura ini dicipta khas untuk kempen Tabung Pahlawan yang bertujuan untuk mengutip dana yang diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran serta Angkatan Tentera Malaysia sebagai satu tanda penghormatan kepada perwira negara yang telah berkorban untuk tanah air selama ini.

Proses rakaman lagu ini telah dilakukan pada penghujung bulan Jun di studio Cranky Music, milik Aubrey dan mengambil masa kurang dari empat jam. 


“Saya berasa cukup terharu apabila menerima undangan dari Ahmad Izham Omar yang sudi mengajak saya berkolaborasi untuk lagu ini. Lagu ini adalah satu tanda apresiasi kami terhadap segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh anggota barisan hadapan di negara kita. Walaupun saya tidak berapa mengenali para pejuang ini dengan lebih dekat, tetapi ingatan saya terhadap pengorbanan mereka menjadi inspirasi kepada penghasilan lagu ini”. ulas Aubrey Suwito.

“Kami berharap dengan terhasilnya lagu ini, akan timbul kesedaran di kalangan rakyat Malaysia tentang segala jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh para wira negara dalam memastikan kita hidup dalam aman damai dan sejahtera”. tambah Ahmad Izham Omar.

Pemilihan Ning Baizura untuk menyanyikan lagu ini telah dibuat bersama oleh Aubrey Suwito dan Ahmad Izham Omar apabila proses keseluruhan lagu ini siap diperdengarkan.

“Hasil perbincangan, kami merasakan Ning Baizura layak dan sesuai untuk mengalunkan ‘Perwira’. Kami percaya Ning mampu untuk menghidupkan lagu ini. Kebolehan beliau dalam mengekspresikan lagu dengan begitu indah, menyentuh hati dan perasaan dengan penjiwaan yang mendalam memang tidak dapat dinafikan. Kami begitu teruja apabila Ning menerima lamaran kami untuk menyanyikan lagu ini. ” jelas Ahmad Izham Omar.

Ning Baizura berkata, “Lagu 'Perwira' adalah single terbaru saya setelah sekian lama tidak muncul dengan lagu baru. Saya sangat berasa terharu dan gembira atas pelawaan Aubrey dan Ahmad Izham dan berterimakasih kerana memberi peluang ini kepada saya. 
 
Ini adalah projek pertama saya bersama mereka dan mengharapkan agar peminat di luar sana dapat menerima lagu istimewa ini yang ditujukan khas kepada semua perwira di luar sana yang telah berkorban demi agama bangsa dan negara .”

‘Perwira’ boleh didengari di semua pelantar digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan YouTube Music bermula 17 Julai 2020.

You May Also Like