Home Lifestyle McDonald's Malaysia McDonald’s Malaysia menyumbang mesej pencegahan COVID-19 di sekolah
Home Lifestyle McDonald's Malaysia McDonald’s Malaysia menyumbang mesej pencegahan COVID-19 di sekolah

McDonald’s Malaysia menyumbang mesej pencegahan COVID-19 di sekolah

Program #KitaJagaKita dekati lebih 35,000 murid sekitar Lembah Klang 

Majlis pelancaran program #KitaJagaKita telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keramat Wangsa, Kuala Lumpur. Program #KitaJagaKita mendekati lebih 35,000 murid di 30 sekolah terpilih sekitar lembah Klang.

McDonald’s Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor berganding bahu melalui program #KitaJagaKita bagi menyebarkan mesej pencegahan COVID-19. Program ini mendekati lebih 35,000 murid, melibatkan 30 sekolah terpilih sekitar Lembah Klang yang berhampiran dengan restoran McDonald’s.

Majlis pelancaran program #KitaJagaKita yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keramat Wangsa, Kuala Lumpur semalam menyaksikan McDonald’s Malaysia menyumbang lebih 1,000 mesej pencegahan COVID-19 untuk diletakkan di persekitaran sekolah-sekolah ini. Mesej-mesej yang disumbangkan adalah dalam bentuk poster, papan tanda, dan juga pelekat yang bertujuan memberi kesedaran tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil bagi mencegah penularan COVID-19.

(kanan) Mustafa Kamal bin Musa, Pengetua, SMK Keramat Wangsa, Kuala Lumpur ketika menyerahkan Sijil Penghargaan kepada (kiri) Shamsidar Yahya, Pengarah Komunikasi Korporat, McDonald’s Malaysia atas sumbangan mesej-mesej pencegahan COVID-19 oleh McDonald's Malaysia. 

“Inisiatif yang dilaksanakan ini merupakan cara kami memberi sokongan terhadap usaha berterusan kerajaan menangani penularan COVID-19. Sebagai sebuah syarikat terkemuka, kami ingin memberi impak positif kepada masyarakat di sekitar lokasi operasi kami, terutama ketika kita masih berada dalam saat sukar dengan pandemik ini yang masih berleluasa. Semoga sumbangan mesej-mesej ini di sekolah mampu meningkatkan semangat #KitaJagaKita di kalangan murid, guru, ibu bapa dan pihak pengurusan sekolah agar saling prihatin dan mengambil berat antara satu sama lain. Sama-samalah kita beringat dan memastikan diri dan persekitaran kita sentiasa selamat daripada jangkitan wabak ini,” kata Hajjah Melati Abdul Hai, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran, McDonald’s Malaysia.

“Pihak sekolah sangat menghargai sumbangan yang dilaksanakan oleh McDonald’s Malaysia. Ini merupakan satu penambahbaikan yang cukup penting bagi kami, terutamanya bagi mendidik dan mengingatkan murid tentang kepentingan amalan keselamatan COVID-19. Besar harapan saya agar mesej yang disumbangkan ini dapat diikuti oleh semua murid,” kata Mustafa Kamal bin Musa, Pengetua, SMK Keramat Wangsa, Kuala Lumpur.


Selain mengenengahkan pentingnya mendengar arahan guru, mesej pencegahan yang disumbangkan McDonald’s Malaysia kepada sekolah-sekolah ini turut menekankan amalan penjarakan sosial, pembersihan tangan, pemakaian pelitup muka dan pemeriksaan suhu badan. Mesej-mesej pencegahan COVID-19 yang ditaja oleh McDonald’s Malaysia ini akan mula diletakkan secara berperingkat daripada bulan Ogos dan September ini.

“Sumbangan mesej-mesej pencegahan COVID-19 ini secara langsung membolehkan kami sebagai ibu bapa menarik nafas lega, memandangkan ia dipaparkan secara jelas di sekitar kawasan sekolah. Tidak dinafikan terdapat kerisauan setiap kali anak pergi ke sekolah. Mereka ini perlu sentiasa diingatkan, kadang-kadang apabila seronok berjumpa kawan-kawan, mereka boleh lupa apa yang kita pesan. Peranan guru di sekolah sangat penting untuk memantau langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan,” kata Mejar Jeneral Dato' Ahmad Hadiatullah Maknun bin Haji Ridzuan (Bersara), Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, SMK Keramat Wangsa, Kuala Lumpur.

You May Also Like