Home Lifestyle McDonald's Malaysia McDonald's Malaysia Menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada Lembaga Zakat Selangor
Home Lifestyle McDonald's Malaysia McDonald's Malaysia Menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada Lembaga Zakat Selangor

McDonald's Malaysia Menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada Lembaga Zakat Selangor

Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyampaikan Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat kepada Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd. Penyerahan sijil tersebut merupakan satu bentuk akuan kepada syarikat-syarikat di Malaysia yang menunaikan zakat perniagaan di Selangor. Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., pengendali tempatan McDonald's Malaysia, merupakan penerima pertama Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada LZS. Sijil ini akan dipamerkan di 94 restoran McDonald's di Selangor. 

Saipolyazan M. Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor menyampaikan Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat kepada Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd yang diwakili oleh Azhar Darbi, Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia.

“Kami amat berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan oleh LZS. Sesungguhnya, pembayaran zakat korporat merupakan komitmen berterusan kami sejak diambil alih oleh Reza Group beberapa tahun lalu. Semoga Zakat yang ditunaikan ini dapat terus membantu golongan yang memerlukan di Malaysia, disamping memenuhi kewajipan kami sebagai umat Islam,” kata Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi.

McDonald’s Malaysia telah diambil alih oleh Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Reza Group di Arab Saudi pada 1 Disember 2016. Dengan pengambilalihan ini, syarikat khidmat segera itu kini dimiliki oleh pemegang saham atau pelabur yang majoritinya terdiri daripada umat Islam.

Pada tahun 2019 sahaja, McDonald’s Malaysia telah membayar Zakat korporat sebanyak RM1.4 juta untuk negeri-negeri di seluruh Malaysia. Untuk negeri Selangor, sebanyak RM101,000 Zakat korporat telah dibayar.

“Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat ini merupakan inisiatif LZS untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada syarikat yang menunaikan zakat perniagaan di Selangor. Ia juga sebagai dorongan kepada syarikat lain untuk tampil menunaikan kewajipan berzakat agar sama-sama dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam krisis COVID-19 yang berlaku. Pada tahun ini, LZS menjangkakan jumlah keluarga asnaf fakir dan miskin di Selangor akan meningkat sehingga 80,000 keluarga. Oleh yang demikian, kutipan zakat daripada pembayar di Selangor amat penting bagi memastikan kebajikan dan keperluan hidup asnaf di Selangor terpelihara dan seterusnya dapat menikmati hidup yang lebih baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop. 

(kiri ke kanan) Saipolyazan M. Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor dan Azhar Darbi, Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia meletakkan Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat di McDonald’s Pandu-lalu Mutiara Damansara. Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., pengendali tempatan McDonald's Malaysia, merupakan penerima pertama Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada Lembaga Zakat selnagor. Sijil ini akan dipamerkan di 94 restoran McDonald's di Selangor. Pada tahun 2019 sahaja, McDonald’s Malaysia telah membayar Zakat korporat sebanyak RM1.4 juta untuk negeri-negeri di seluruh Malaysia. Untuk negeri Selangor, sebanyak RM101,000 Zakat korporat telah dibayar.

“Pemberian Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat ini sebenarnya memberi nilai tambah kepada sijil Halal sedia ada yang dimiliki oleh sesebuah syarikat. Ia secara langsung memberi kefahaman kepada pengguna berhubung urus niaga sesebuah syarikat dan membolehkan pengguna membuat pilihan yang lebih baik terhadap tempat atau perkhidmatan yang diingini. Semoga sijil yang diberikan kepada McDonald’s Malaysia hari ini mampu mengukuhkan lagi keyakinan rakyat Malaysia terhadap jenama McDonald’s di negara ini,” tambah Saipolyazan.

Selain membayar Zakat, McDonald's Malaysia juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) untuk terus mendukung komitmen Halalnya kepada para pengguna dalam semua aspek perniagaan. McDonald’s Malaysia juga terlibat secara aktif dalam pelbagai program Halal termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), HALFEST dan World Halal Conference.

You May Also Like