Slider

Semarakkan semangat pengembaraan anda, sekarang!

Semarakkan semangat pengembaraan anda, sekarang!
Dengan adanya seni filem, percutian mengelilingi dunia mungkin hanya sejauh jarak ke skrin di ruang tamu anda



Rindukan pengembaraan mengelilingi dunia? Agoda mempunyai penyelesaian yang sempurna untuk menyemarakkan semangat pengembaraan anda — semuanya dengan selamat di rumah anda sendiri!

Walaupun dalam kekangan perintah kawalan pergerakan, percutian masih berlegar di minda kebanyakan orang. Menurut tinjauan Agoda baru-baru ini tentang percutian pasca-pandemik, 34% daripada rakyat Malaysia mempunyai tahap keinginan yang tinggi untuk keluar bercuti apabila ia selamat dilakukan kelak. Dalam kumpulan ini, 18% tidak sabar untuk bercuti ke luar negara dan 16% berkeinginan untuk mengembara atau mangambil cuti inap di dalam negara selepas berakhirnya pandemik.

Biarpun rancangan percutian belum dapat dilaksanakan lagi, anda masih boleh mengekalkan semangat pengembaraan anda melalui keajaiban seni filem. Di waktu pengasingan kendiri ini, filem-filem boleh memberikan suntikan eskapisme untuk menyemarakkan semangat pengembaraan dan membawa anda pergi ke tempat-tempat jauh.

Agoda telah menyenaraikan lima buah filem dan siri TV yang akan membawa anda untuk menikmati kepelbagaian pengembaraan tanpa mengira usia. Dari kisah perjalanan keluarga yang menyentuh hati ke percutian berdua yang romantis, dan kembara berkereta bersama rakan-rakan sehinggalah ke kisah perjalanan warga tua, pengalaman-pengalaman sinematik ini bakal menyemarakkan semangat pengembaraan tanpa meninggalkan keselesaan sofa anda.

Sebuah Kisah Dongeng Percintaan

Crash Landing on You (2019 — 2020)
Adakah anda sedang mencari pengembaraan romantis yang berlatarbelakangkan pemandangan indah? Siri popular Korea ini pastinya akan menjadi tarikan bagi anda. Crash Landing on You adalah sebuah kisah percintaan moden ‘Romeo and Juliet’ yang mendapat sentuhan negara Korea. Setelah mengalami kemalangan luncur udara, anak orang kaya Yoon Se-ri mendapati dirinya berada di Zon Bebas Tentera Korea Utara. Dia telah ditemui oleh Ri Jeong-hyuk, seorang pegawai tentera Korea Utara yang membuat keputusan untuk menyembunyi dan membantunya untuk pulang ke Korea Selatan dengan selamat. Walaupun terdapat ketegangan politik antara dua buah negara, pasangan tersebut telah jatuh cinta antara satu sama lain.

Selain daripada jalan cerita yang mengasyikkan dan barisan pelakon yang mantap, daya penarik utama K-drama ini terletak di tangan penerbit yang mahir dalam memilih lokasi penggambaran yang indah untuk meningkatkan lagi suasana romantis drama ini. Sebenarnya, babak pembukaan kisah ikonik yang menampilkan Yoon Se-ri terhempas dari udara telah difilemkan di kawasan hutan yang indah di Taman Negara Hallasan di Pulau Jeju. Sebuah lagi babak klasik telah difilemkan di Jambatan Gantung Sungai Hatan, sebuah jambatan gantung yang panjang di Pocheon, Korea Selatan yang indah dengan pemandangan pergunungan yang menghijau.



Siri tersebut bukan sahaja menampilkan pemandangan indah di Korea, malahan ia juga membawa penonton untuk menyaksikan tempat-tempat pelancongan menarik di Switzerland. Ini termasuk bandar kosmopolitan Zurich yang terkenal lorong-lorong yang telah dibina sebelum Zaman Pertengahan dan bangunan-bangunan bersejarah, pergunungan Swiss yang hebat, dan Tasik Lungern yang seindah lukisan.

Penemuan dalam Hubungan Kekeluargaan

The Journey (2014)
Walaupun kita sentiasa memasang angan-angan untuk mengunjungi tempat-tempat eksotik yang jauh, The Journey mengingatkan kita bahawa Malaysia juga mempunyai banyak tempat-tempat yang tidak kurang hebatnya.

Filem ini mengisahkan Uncle Chuan yang menantikan kepulangan anak perempuannya, Bee ke Malaysia setelah sekian lama menetap di luar negara. Namun, dia berasa kesal apabila Bee pulang bersama-sama tunangnya yang berbangsa British, Benji. Uncle Chuan dengan berat hati telah memperkenankan perkahwinan mereka dengan satu syarat iaitu upacara perkahwinan dilangsungkan mengikut adat tradisi kaum Cina di mana bakal menantu lelakinya wajib menghantar kad jemputan bersama-samanya. Uncle Chuan berkeras untuk menjemput rakan-rakan sekelas lama yang kini tinggal di merata tempat. Dia dan Benji memulakan pengembaraan ke seluruh negara sambil mengharungi pelbagai cabaran di sepanjang perjalanan disebabkan oleh perbezaaan bahasa dan budaya.

The Journey menceritakan satu kunjungan mendadak ke kawasan-kawasan yang berpemandangan indah di Malaysia, termasuk rumah Uncle Chuan yang terletak tinggi di Cameron Highlands yang menghijau. Antara tempat-tempat menarik yang lain adalah Pulau Aur di persisiran pantai Johor, yang terkenal dengan terumbu karang dan lagun yang biru; penempatan pinggiran pantai di Jeti Chew, Pulau Pinang, sebuah kawasan kejiranan sibuk yang mempunyai rumah-rumah dibina di atas tiang-tiang kayu; dan sawah padi yang indah di Baling, Kedah.



Dengan situasi kini yang menyebabkan kita terpaksa berjauhan dengan orang yang tersayang, filem yang menyentuh perasaan ini mengingatkan kita terhadap semangat kekeluargaan dan kemasyarakatan di Malaysia. Pengembaraan Uncle Chuan dan Benji telah menggambarkan suka dan duka yang dialami dalam perjalanan keluarga; walaupun terdapat perbalahan dan perselisihan pendapat, pengalaman yang dikongsi bersama akan memberikan peluang untuk menguatkan lagi hubungan sesama ahli keluarga.

Eksploitasi Pengembaraan untuk Pengembara Solo

Queen (2013)
Walaupun pengembaraan solo mungkin tampak mencabar dan menakutkan kepada sesetengah orang, protagonis muda di dalam filem Queen telah mempelajari bahawa pengembaraan solo boleh mencetuskan pencarian erti hidup diri sendiri dan pemerkasaan diri.

Rani Mehra, seorang gadis yang hidup terlindung dan pemalu yang berusia 24 tahun dari Delhi, telah ditinggalkan oleh tunangnya beberapa hari sebelum tarikh perkahwinannya. Terkejut dengan berita tersebut, Rani mengambil keputusan untuk bercuti bulan madu seorang diri ke Eropah. Pada mulanya, dia merasa tertekan di tempat yang asing baginya, tetapi tidak lama kemudian dia memulakan pengembaraannya bersama teman-teman baharu di Paris dan Amsterdam.



Dari keindahan jalan-jalan di Paris sehinggalah ke kehebatan hiburan malam di Amsterdam, Queen membawakan pengalaman yang seronok melalui imaginasi di kota asing kepada penonton sambil menyerlahkan keyakinan Rani yang semakin meningkat. Filem ini dapat menggambarkan dengan sempurna keriangan yang tidak dapat dijangkakan apabila mengembara secara bersendirian seperti menjalinkan persahabatan dengan orang yang tidak dikenali dan juga memupuk semangat berdikari.

Pengembara Warga Emas

Nomadland (2020)
Dengan merangkul tiga anugerah Oscar di Academy Awards, Nomadland bukanlah sebuah filem pengembaraan yang sembarangan. Filem ini mengisahkan kehidupan Fern, 61 tahun yang hidup berpindah-randah,mengembara merentasi kawasan barat Amerika untuk mencari pekerjaan.

Diinspirasikan daripada sebuah buku bukan fiksyen dengan judul yang sama, Nomadland menggambarkan dunia warga tua di Amerika Syarikat yang terpaksa hidup berpindah-randah berikutan kemelesetan ekonomi pada tahun 2008, dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mendapatkan peluang kerja sementara.



Dengan mengikuti Fern yang tinggal di dalam sebuah van, penonton dapat menyaksikan pelbagai landskap semula jadi di lima buah negeri di Amerika Syarikat. Antara lokasi-lokasi yang luar biasa termasuklah pembentukan batu-batan berceranggah di Taman Negara Badlands, South Dakota, yang menampilkan kumpulan ngarai yang dalam dan puncak yang dramatik. Anda boleh mengenali Fern dan cintanya terhadap pokok-pokok redwood yang dikatakan hidupan yang paling tinggi di dunia dengan mengikutinya ke kawasan perhutanan redwood yang tebal di pinggir California. Jika anda impikan kebebasan di ruang terbuka yang luas, Nomadland memberikan anda sebuah gambaran sebenar di kawasan barat yang terpencil di Amerika Syarikat.

Penghijrahan untuk Anak Muda

Emily In Paris (2020)
Di awal kerjaya anda, pernahkan anda berangan-angan untuk mendapatkan pekerjaan idaman anda di luar negara atau tinggal di negara asing? Layanilah fantasi anda untuk mengelilingi dunia dengan siri komedi Emily In Paris. Watak utama Emily, seorang pegawai eksekutif berusia 20-an dari Chicago, mendapat pemindahan jawatan yang menjadi rebutan ramai ke Paris dan terpaksa menyesuaikan diri kepada kehidupan baharu di sebuah kota yang asing. Walaupun tidak mempunyai kemahiran berbahasa Perancis, kurang bersedia untuk menggalas tanggungjawab kerja baharu serta tidak mengetahui budaya tempatan; Emily cuba sedaya upaya untuk menyesuaikan dirinya kepada perubahan tersebut.



Emily In Paris membawa penonton untuk menyaksikan suasana Paris yang seindah mimpi dan mengunjungi pelbagai tempat-tempat tarikan pelancong yang ikonik. Ini termasuk Palais Garnier, sebuah rumah opera yang dibina pada kurun ke-19; Pont Alexandre III – jambatan mewah yang merentasi Sungai Siene; dan Rue de l'Abreuvoir yang mendapat jolokan kehormat “jalan yang terindah di Paris” dengan adanya bangunan-bangunan dengan seni bina unik yang dilitupi tumbuhan menjalar.. Siri ini juga memberi sorotan kepada tarikan-tarikan kontemporari; di dalam salah sebuah episod, Emily mengunjungi pameran Van Gogh yang mengagumkan di L'Atelier des Lumières, sebuah muzium seni digital yang mengubah karya-karya seni klasik kepada pengalaman multimedia yang imersif.

Namun begitu, kekuatan siri ini bertumpu kepada cara Emily menyesuaikan diri dalam suasana yang baharu — sesuatu yang mungkin relevan (dan boleh mencetuskan inspirasi) kepada anak-anak muda yang baru mengenali dunia.

Tanpa mengira cara eskapisme yang anda idamkan, sama ada percutian untuk seisi keluarga, pengembaraan solo mencari erti hidup diri sendiri, atau sebuah pengembaraan warga emas yang penuh inspirasi, seni filem merupakan sesuatu yang anda boleh sandarkan untuk mengimbau detik-detik percutian yang hebat sambil mencetuskan inspirasi untuk percutian baharu yang akan datang.