Saturday, November 30, 2019

Bank Islam Perkukuh Kerjasama Dengan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia

(Dari kiri) Puan Siti Rohani Nadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat JBPM, Dato’ Mohammad Hamdan Hj. Wahid, Ketua Pengarah JBPM, Encik Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam dan Encik Zamree Mohamed, Ketua Perbankan Pengguna bergambar bersama di Majlis Menandatangani Nota Kolaborasi antara Bank Islam dan JBPM di Subang Jaya, Selangor.
Bank Islam Malaysia Berhad (“Bank Islam”) awal bulan ini menandatangani nota kolaborasi dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (“JBPM”) untuk perkongsian ilmu terutamanya dalam bidang perbankan dan pengurusan kewangan Islam serta keselamatan kebakaran melalui program-program anjuran bersama serta aktiviti bersepadu ke arah meningkatkan lagi kerjasama di antara kedua-dua pihak. 

Menandatangani nota kolaborasi tersebut bagi pihak Bank Islam ialah Encik Zamree Mohamed, Ketua Perbankan Pengguna, manakala JBPM diwakili oleh Puan Siti Rohani Nadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat. Majlis ringkas tersebut telah turut disaksikan Encik Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam dan Dato’ Mohammad Hamdan Hj. Wahid, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Encik Mohd Muazzam berkata “Kerjasama ini merangkumi persetujuan berhubung peranan dan aktiviti dua hala antara Bank Islam dan JBPM yang meliputi perkongsian ilmu mengenai bidang pengurusan kewangan Islam; latihan keselamatan kebakaran; kerjasama menjayakan Sambutan Hari Anggota Bomba; serta menganjurkan program-program yang relevan ke arah memperkukuhkan kerjasama strategik demi manfaat bersama.”

“Bank Islam amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk menjadi rakan strategik JPBM kerana ia mencerminkan penghargaan kami di atas jasa dan khidmat yang diberikan oleh anggota keselamatan dan penyelamat dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan negara ini. Kerjasama ini juga turut membolehkan kami meningkatkan akses penyelesaian kewangan yang bersesuaian dengan keperluan anggota JBPM, selain membantu mereka dalam aspek pengurusan tunai yang mampan,” tambah Encik Mohd Muazzam.

Whatsapp Button works on Mobile Device only

Start typing and press Enter to search