Home Kenyataan Media dari Istana Johor
Home Kenyataan Media dari Istana Johor

Kenyataan Media dari Istana Johor


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Ekoran daripada pengumuman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri  Muhyiddin Yassin, pada 24 Februari 2020, yang parti tersebut telah keluar daripada Pakatan Harapan, maka kedudukan Kerajaan Pakatan Harapan di Negeri Johor turut terjejas dan hilang majoriti menjadikan kerajaan yang tergantung (hung government).

Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato' Dr. Saharuddin bin Jamal bersama Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, telah mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor pada 26 Februari 2020, memaklumkan bahawa satu gabungan baharu telah diwujudkan bersama beberapa Ahli Dewan Negeri Johor (ADUN) dan berjaya memperolehi bilangan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Bagi mengesahkan sokongan majoriti tersebut, Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah bertitah supaya diadakan satu sesi temu bual bersama setiap ADUN bagi mendengar sendiri sokongan yang diberikan.

Sehubungan itu, satu sesi temu bual bersama semua ADUN Johor telah diadakan pada 26 Februari 2020 jam 3.00 hingga 5.00 petang di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru. Temu bual tersebut telah dibuat dihadapan DYMM Tuanku dan disaksikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Penasihat Undang-undang Negeri Johor.

Setiap ADUN juga dikehendaki menandatangani surat akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong parti Pakatan Harapan atau Gabungan Baharu. Daripada 56 ADUN yang dipanggil, 2 orang tidak dapat menghadirkan diri, iaitu ADUN Simpang Jeram dan ADUN Puteri Wangsa. Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang merupakan ADUN Gambir turut hadir dalam sesi temu bual tersebut.

Setelah selesai sesi temu bual tersebut, DYMM Tuanku telah berpuas hati bahawa Gabungan parti yang baharu telah memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, apabila 28 ADUN memilih Gabungan Baharu berbanding 26 ADUN memilih Pekatan Harapan.

Oleh yang demikian, Gabungan parti yang baharu berhak untuk memberikan cadangan nama calon Menteri Besar, sebelum susunan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu dilantik.DYMM Tuanku berharap agar pentadbiran Kerajaan Negeri Johor segera dibentuk bagi memastikan pembangunan negeri berjalan dengan lancar demi kemajuan dan kesejahteraan hidup semua rakyat di Negeri Johor Darul Ta'zim.

Adalah saya dengan hormatnya yang menjunjung titah,

DATO' HAJI JABA MOHD NOAH
27 Februari 2020

You May Also Like