Page Nav

SHOW

Grid

GRID_STYLE

Hover Effects

TRUE
{latest}

Situasi Terkini Jangkitan Coronavirus Disease (COVID-19) di Malaysia Kes Ke-22

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa kes ke-22 yang merupakan seorang wanita warganegara Amerika Syarikat berum...


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa kes ke-22 yang merupakan seorang wanita warganegara Amerika Syarikat berumur 83 tahun telah menunjukkan perkembangan status kesihatan yang sangat baik. Pesakit ini masih lagi dipantau di hospital kerana mengalami sedikit batuk.

Terdahulu seperti Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan pada 15 Februari 2020, kes ke-22 ini telah dikesan bergejala melalui “thermal scanner” sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.

Pemeriksaan klinikal dan ujian x-ray dada mengesahkan pesakit mempunyai penyakit radang paru-paru (pneumonia). Pesakit telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh. Sampel klinikal oropharyngeal dan nasopharyngeal telah diambil. Ujian pengesahan COVID-19 bagi kedua-dua sampel ini telah dijalankan sebanyak dua kali oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan kedua-dua ujian disahkan positif pada 15 Februari 2020. Kes telah diberikan rawatan antiviral (lopinavir/Ritonavir) dan bantuan oksigen bagi gejala yang dihadapinya.

Setelah lebih 72 jam diberikan rawatan, kes telah menunjukkan perubahan kesihatan yang baik. Oleh yang demikian ujian ulangan pengesahan COVID-19 telah dijalankan sebanyak 2 kali dengan jarak masa 24 jam bagi setiap satu ujian. Kedua-dua ujian ulangan ini menunjukkan keputusan negatif. Ujian pengesanan ulangan ini telah dijalankan bagi memastikan kes telah sembuh dan negatif COVID-19.

Untuk makluman, merujuk kepada dapatan terkini kajian berkaitan COVID-19, hampir 80% pesakit COVID-19 yang dilaporkan merupakan pesakit yang mengalami gejala yang ringan dan tiada rawatan spesifik atau antiviral diperlukan bagi penyakit ini.

Kebanyakan pesakit hanya memerlukan rawatan simptomatik (seperti demam, batuk dan selsema) dan isolasi kes perlu dijalankan bagi mengelakkan penularan penyakit ini kepada orang lain. Hal ini kerana, kebanyakan kes yang telah disahkan positif, sistem imun badan manusia akan menghasilkan antibodi spesifik bagi melawan virus ini.

Walaubagaimanapun, terdapat juga golongan yang tidak mempunyai sistem imun yang kuat, contohnya warga emas, di mana jangkitan virus COVID-19 ini menyebabkan komplikasi yang teruk dan memerlukan bantuan ubat-ubatan seperti antiviral.

Ujian makmal pengesahan COVID-19 ulangan akan dijalankan ke atas semua kes yang disahkan positif, setelah pesakit menunjukkan perkembangan yang baik bagi gejala klinikal yang dialaminya.

Hal ini adalah untuk memastikan bahawa kes telah sembuh sepenuhnya dan bebas daripada virus COVID-19. Ini adalah penting bagi memastikan kes selamat untuk dibenarkan pulang dan tidak menjangkiti orang lain.